Agensi Berita Antarabangsa Ahlul Bait (ABNA): Dengan berjuta-juta jemaah yang dijangka tiba untuk musim haji tahun ini, pasukan keselamatan Arab Saudi meningkatkan tindakan tegas terhadap individu yang cuba memasuki Mekah dan kawasan tanah suci tanpa permit haji yang sah.
Kementerian Dalam Negeri Saudi mengingatkan bahawa sesiapa yang melanggar peraturan haji akan dikenakan denda antara SR20,000 hingga SR100,000 ($5,330 hingga $26,660), bersamaan lebih kurang RM23,000 hingga RM115,000.
Tindakan tangkapan dan hukuman berat akan dikenakan kepada pelanggar dan pembantu kepada pelanggar, termasuk mereka yang tinggal secara haram di Mekah dan kawasan tanah suci.
Dalam laporan Agensi Berita Saudi (SPA), pihak polis Mekah baru-baru ini menahan 18 penduduk warganegara Afghanistan dan Pakistan kerana memalsukan kad permit kediaman, kad Nusuk dan gelang tangan haji.
Selain itu, seorang penduduk warganegara Indonesia ditahan kerana mempromosikan perkhidmatan haji palsu di media sosial dan memiliki kad haji tiruan.
Dalam kejadian berasingan, pasukan keselamatan haji menahan lima penduduk warga Afghanistan kerana melanggar peraturan haji selepas cuba memasuki Mekah melalui kawasan padang pasir tanpa permit.
Pasukan keselamatan juga menahan 10 penduduk warganegara Sudan, Mesir danYaman kerana cuba memasuki dan tinggal di Mekah tanpa permit haji yang sah. Kesemua mereka telah dirujuk kepada Pendakwaan Awam untuk tindakan undang-undang.
Kementerian Dalam Negeri Saudi mengulangi bahawa mendapatkan permit haji yang sah adalah WAJIB bagi semua warganegara, penduduk dan pemegang visa.Orang ramai juga diminta untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan keamanan para jemaah.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan perkhidmatan haji palsu di media sosial dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Saudi. Tindakan tegas ini berkuat kuasa serta-merta bagi musim haji tahun ini.
Your Comment